Kebenaran Islam - Israiliyyat bhg. 2

Artikel ini bertujuan untuk menganalisa kitab tafsir Melayu Tafsir Anwar Baidhawi karangan Abd. Al-Rauf bin Ali al-Fansuri al-Singkili atau Sheikh Abdurrauf yang ditafsirkan secara lengkap tiga puluh juzuk. Kitab ini ditulis dalam bahasa Melayu tulisan Jawi lama. Tafsir ini masih dicetak hingga sekarang. Ia dicetak dalam tiga penggal, dan yang terbaru sekali ia dicetak hanya dalam satu jilid tebal. Kitab tafsir ini menjadi pilihan kerana ia merupakan antara kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu yang dipelajari di surau-surau, masjid-masjid serta pondok-pondok di Malaysia. Kitab ini wajar diberi perhatian dan penumpuan bagi menilai sama ada ia juga dipengaruhi oleh kisah-kisah Israiliyyat ataupun tidak.

Ia juga bertujuan membincangkan tafsiran-tafsiran al-Quran secara terperinci, tanpa terpengaruh dengan kisah-kisah Israiliyyat yang tidak berdasarkan kepada sanad yang sahih.

PENGERTIAN ISRAILIYYAT

Perkataan Israiliyyat adalah diambil daripada kata jamac. Mufradnya adalah diambil daripada kata Israiliyyah, yang dinisbahkan kepada Bani Israil (keturunan Israil). Manakala Israil pada asalnya adalah nama Nabi Allah Yaakob a.s. yang membawa maksud Abdullah atau hamba Allah. Bani Israil atau keturunan Israil ialah keturunan Nabi Yaakob (a.s.) yang berkembang hingga kepada Nabi Musa a.s. dan seterusnya nabi-nabi yang datang silih berganti, sehinggalah keturunannya yang terakhir iaitu Nabi Isa a.s.

Keturunan Nabi Yaakob (a.s.) atau Bani Israil sejak beberapa zaman yang lalu dikenali dengan panggilan Yahudi. Keturunan yang beriman kepada Nabi Isa a.s. pula dikenali dengan nama Nasara atau Nasrany. Manakala yang beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w. pula telah menjadi sebahagian daripada umat Islam dan dikenali dengan Muslim ahl al-Kitab .
|Abu Syaybah 1408: 12|


Israiliyyat menurut istilah ahli tafsir ialah kisah-kisah Yahudi yang menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam melalui tafsir al-Quran yang banyak berlaku di zaman tabi’in. Namun ulama tafsir dan hadith menggunakan istilah Israiliyyat terhadap perkara-perkara yang lebih luas, iaitu setiap kisah termasuk cerita lama yang diadakan, dimasukkan ke dalam tafsir. Bahkan sesetengah ulama tafsir dan hadith menganggap Israiliyyat adalah setiap kisah yang dicipta dan disampai oleh musuh-musuh Islam ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosakkan kesucian Islam.
|al-Dhahabi 1990: 13|

RIWAYAT ISRAILIYYAT

Secara umumnya, riwayat Israiliyyat boleh dibahagikan kepada tiga bahagian;

1. Israiliyyat yang sahih dan bertepatan dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Israiliyyat daripada bahagian ini harus diriwayatkan berdasarkan Hadith Nabi s.a.w yang bermaksud
|al-Bukhari t.th., 1: 258|:

Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat. Perkatakanlah tentang kisah-kisah Bani Israil dan ianya bukan menjadi satu kesalahan. Dan sesiapa berdusta terhadapku maka disediakan baginya tempat di dalam neraka.

2. Israiliyyat yang bercanggah dengan nas yang Qatci daripada al-Quran dan juga al-Sunnah, serta menyalahi lojik akal. Israiliyyat daripada bahagian ini tidak harus diriwayatkan.

3. Israiliyyat yang ‘Maskut cAnhu’ iaitu yang tidak disokong oleh nas al- Quran dan juga al-Sunnah iaitu ia bukan dari bahagian pertama dan juga bahagian kedua. Bahagian ini tidak perlu kita membenarkannya dan tidak juga mendustakannya. Tetapi harus diriwayatkannya .

EnsyaAllah kupasan demi kupasan mengenai israiliyyat akan dibentangkan di dalam artikel yang akan datang, semoga artikel ini dapat membuka minda dan memberi kita manfaat agar kita lebih berhati-hati dalam menafsirkan sesuatu perkara serta fenomena yang tidak jelas didalam al quran dan as sunnah serta kajian-kajian sejarah.

bersambung..

0 comments:

Related Posts with Thumbnails