Di akhir zaman ini kita lebih cenderung untuk memuja dan mengkagumi artis-artis, pelakon-pelakon malahan menyanjung mereka yang menentang hukum Allah s.w.t (tamra). Jika ditanya kepada anak muda remaja, lagu apakah yang sedang 'HOT' sekarang pasti mereka dapat bagitahu lagu apa dan dapat menyanyikannya dengan lancar. Tetapi jika ditanya ayat-ayat suci Al-Quran berapa keratkah yang lancar dan megghafalnya? Dan pernahkah kita mengambil masa sejenak untuk menghayati firman Allah? Renungkan kembali saudaraku.
Lupakah kita tentang para Waliallah yang telah berjuang di jalan Allah untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini? Untuk meneruskan kesinambungan Rasullulah s.a.w menegakkan kalimah agung di bumi Allah ini. Sesungguhnya merekalah pewaris nabi selepas kewafatan Rasullulah s.a.w. Saya mengajak anda semua untuk mengenali dan kembali menyelusuri perjuangan waliallah ini. Semoga semangat perjuangan mereka terdahulu kita dapat teruskan di akhir zaman ini, Insya Allah.
Segala puji-pujian itu bagi Allah, Tuhan semesta alam.. Selawat dan salam ke atas Rasulullah Salallahualaihiwassalam dan Ahlil Baitnya, Saidina Abu Bakar dan Khalifah-khalifah Rasulullah, Saidina Ali Karamallahuwajha, Saiditina Fatimah Al-Zahrah, Al-Hassan, Al-Hussein dan Salman Al-Farisi.
Menjunjung kemuliaan Khalifah-khalifahmu Paduka Sharif Muhammad dan Paduka Sharif Al-Kubra Sheikh Sharif Abdul Malik Tok Pulau Manis, kedua-dua kota sucimu di kawasan Timur jauh. Dan kami bermohon bergantung padaMu dan berwasilah kepada Rasulullah SAW kepadaMu. Adapun kemudian daripada itu, kami berlindung kepadaMu Ya Allah akan pena yang derhaka dan pendustaan dan mengada-adakan sesuatu daripada sesuatu untuk maksud sesuatu.
Kami mohon ditonton oleh umat akan kehadiran keturunan Rasulullah SAW yang disebutkan menjadi khalifah ke seluruh dunia dan setelah gagal dibatalkan oleh Bani Umaiyah dan kaum-kaum Wahabi dan kaum-kaum Ahli Kitab Al-Fasik, Yahudi dan Nasrani dan kaum-kaum derhaka dan ahli siasat dan ahli muslihat.
Nama Tokku Pulau Manis sememangnya telah begitu masyhur di kalangan penduduk Terengganu sebagai seorang ulama dan juga pejuang tanah air pada waktu penjajahan British dahulu. Namun begitu, tidak ramai yang mengenali susur galur dan juga sejarah hidup ulama Melayu ini.Nama beliau yang sebenar ialah Shaikh Abdul Malik bin Abdullah. Shaikh Abdul Malik adalah berasal dari keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi yang merupakan seorang raja di Baghdad. Kemudian beliau telah merantau ke Terengganu dan menjadi pemerintah di Terengganu yang dikenali dengan Empayar Suci Temir.
Pada tahun 1650, Shaikh Abdul Malik telah dilahirkan di Kampung Pauh, Kuala Berang. Beliau merupakan putera kepada Tuanku Syarif Abdullah iaitu seorang pemerintah dan ulama kerajaan Temir pada masa itu. Beliau diberi nama Syarif Abdul Malik bin Tuanku Syarif Abdullah bin Tuanku Syarif Abdul Qahar bin Tuanku Syarif Muhammad Al-Baghdadi, pengasas kerajaan Islam pertama di Terengganu. Beliau adalah berketurunan dari nasab Rasulullah s.a.w.
Kehidupan Shaikh Abdul Malik di istana adalah juga merupakan tempat umat Islam menerima ilmu, tarbiyyah dan menjadi pusat pertadbiran kerajaan. Dalam meniti usianya di istana, beliau banyak memerhati dengan penuh teliti setiap butir perkataan dan gerak-geri ayahandanya yang merupakan sebagai gurunya yang pertama. Dari sehari ke sehari, beliau membesar di dalam suasana yang penuh seimbang antara agama dan politik yang memungkinkan beliau menjadi matang melebihi usianya. Malahan begitu, beliau juga tidak begitu berminat untuk bermain sebagaimana kanak-kanak yang seusia dengannya. Akan tetapi, beliau lebih berminat untuk mentelaah kitab, mendampingi ayahandanya dan melakukan ibadat. Hasil dari Sifat-sifatnya yang mulia dan daya intelektualnya yang bijak itu telah memperlihatkan yang beliau akan menjadi seorang pemimpin yang hebat pada suatu masa nanti. Ia bukan sahaja terlihat dalam bidang agama dan kerohanian tetapi juga dalam soal pentadbiran dan kepimpinan.
Atas didikan dan pengawasan yang penuh kasih sayang dari kedua-dua ibu bapanya, tambahan pula dengan perihal dirinya yang amat menarik, dengan tubuhnya yang sederhana dan wajahnya yang menarik membuatkannya menjadi sanjungan dan perbualan sesiapa sahaja yang melihatnya. Selain itu, beliau mempunyai perwatakan yang halus budi pekerti, amat kuat ingatan, cintakan ibadah dan suka bersendirian yang menjadikannya lebih dipandang tinggi oleh penduduk setempat. Apabila beliau semakin menginjak dewasa, beliau disuruh pula oleh ayahandanya mengikuti bapa saudaranya yang bernama Ismail untuk sama-sama pergi berniaga. Ia bertujuan agar beliau dapat meluaskan pandangannya melalui pemerhatian dan pengalaman yang dilaluinya.
Setelah sekelian lama menuntut ilmu dengan ayahandanya dan juga ulama tempatan, Shaikh Abdul Malik disuruh pula oleh ayahandanya belayar ke Aceh untuk menuntut ilmu di sana yang juga lebih dikenali sebagai Serambi Mekah, merupakan sebuah pusat penyebaran ilmu di Nusantara bahkan juga tempat pengajian pertama sebelum seseorang itu melanjutkan pelajaran ke Mekah. Dalam usianya seawal 20-an, beliau telah meninggalkan tanah airnya dan belayar ke Aceh bersama dengan sahabat-sahbatnya. Di sana, Shaikh Abdul Malik telah berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri yang juga dikenali sebagai Tok Shaikh Kuala yang merupakan ulama besar di Nusantara pada waktu itu.
Apabila Shaikh Abdul Rauf melihat keadaan beliau yang telah dapat menguasai beberapa ilmu seperti hadith, tafsir, nahu, saraf, fiqh dan tasawuf dengan baik, beliau pun dibaicah oleh Shaikh Abdul Malik dengan tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk melakukan suluk bersama dengan tiga muridnya yang lain iaitu Shaikh Yusuf Khalawati al-Mankatsi dari Bugis Mekasar, Shaikh Abdul Muhyi Pamijihan dari Cerebon Tegal dan Shaikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat. Ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga tercapai beberapa maqam padanya. Akhirnya, Shaikh Abdul Malik telah dilantik sebagai khalifah tarekat Shatariah dan diperintahkan untuk mengembangkannya di Terengganu apabila pulang ke negerinya.
Setelah sekian lama menuntut ilmu dengan Shaikh Abdul Rauf dan telah selesai dalam pengajiannya di bawah bimbingan gurunya itu, Shaikh Abdul Malik diperintahkan oleh gurunya itu untuk menyambung pengajiannya di Mekah dan Madinah. Pada usia sekitar 30-an, beliau dan beberapa orang sahabatnya telah belayar ke Mekah setelah mendapat keizinan dari gurunya. Di Mekah, Shaikh Abdul Malik telah berguru dengan ulama-ulama yang besar dan salah seorang darinya ialah Shaikh Ibrahim al-Kurani yang merupakan guru kepada Shaikh cAbdul Rauf Singkel dan pengganti kepada Shaikh Ahmad Qusyasyi.
Pada tahun 1690 M, gurunya iaitu Shaikh Ibrahim al-Kurani telah kembali ke RahmatuLlah. Pemergian gurunya yang dikasihi itu amat dirasai tambahan pula gurunya itu juga amat kasih kepada dirinya selama beliau menuntut bersamanya. Pada usianya menjangkau 40 tahun, Syarif Abdul Malik kembali ke tanah airnya. Setibanya beliau di pelabuhan di Kuala Berang, Shaikh Abdul Malik telah disambut oleh ahli keluarganya dan rakyat jelata. Apabila melihat keadaan diri ayahandanya yang telah uzur, beliau menyedari bahawa tanggungjawab berat yang bakal dipikulnya makin hampir.
Setelah beberapa bulan pulang dari Mekah, ayahandanya telah menjodohkan Shaikh Abdul Malik dengan Puteri Mahpuri, anak kepada seorang pembesar yang berasal dari kerabat Diraja Johor yang kemudiannya telah menetap di Terengganu, iaitu di Kampung Batu Hampar. Mertuanya bergelar Tok Raja Lila.
Selepas berkahwin, beliau telah membawa isterinya ke istananya di Kota Tamir. Perkahwinan mereka adalah berdasarkan iman dan kasih sayang. Mereka dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Dari perkahwinan yang dalam suasana iman, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu tiga lelaki iaitu Badaruddin, Imam Yusuf, dan Haji Yaakob (Tok Bongkok) serta seorang anak perempuan yang bernama Siti Zubaidah. Ada juga yang meriwayatkan bahawa Tok Pulau Manis tiada anak perempuan. Walhal, yang berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin 1 itu adalah anak angkat Tok Pulau Manis yang dipelihara selepas kematian ayahnya, Wan Ismail Datu.
Setelah ayahandanya mangkat, Shaikh Abdul Malik telah dilantik menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Beliau menerima tanggungjawab itu dengan perasaan yang amat berat. Bebanan tanggungjawab yang diterimanya itu membuatkannya menjadi semakin sibuk. Banyak urusan yang terpaksa dilakukannya telah memungkinkan beliau merasa tidak senang duduk. Jiwanya yang lebih cenderung kepada mengajar, berdakwah, mengarang dan beruzlah telah meresahkan lagi hatinya. Setelah beliau bermunajat kepada Allah dan memohon petunjuk daripadaNya, akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk mencari pengganti dirinya.
Setelah itu, Shaikh Abdul Malik pun bermesyuarat dengan para pembesarnya dan menyatakan hasratnya yang ingin turun takhta dan menggantikannya dengan Tun Jenal yang merupakan anak seorang pembesar Johor pada ketika itu dan juga muridnya sendiri. Para pembesar menerima permintaan Shaikh Abdul Malik. Namun, mereka telah meletakkan dua syarat kepada beliau. Pertama, Shaikh Abdul Malik mesti tetap menjadi penasihat dan guru kepada istana. Kedua, Tun Jenal dikehendaki mengahwini puterinya Siti Zubaidah untuk memastikan keturunannya terus memerintah di Terengganu.
Dalam usia sekitar 80-an, Tok Pulau Manis banyak menumpukan kepada mengajar, mengarang kitab dan menyebarkan tarekat Shatariah. Anaknya yang bernama Badaruddin telah diangkat menjadi Shaikh tarekat Shatariah dan telah diizinkan untuk membaicah dan membimbing suluk para muridnya.
Dari sehari ke sehari, kesihatannya mula terjejas dan menjadi semakin tenat dan uzur. Beliau banyak menghabiskan usianya yang ada dengan berkhalwat dengan Allah Taala. Setelah dirasakan kesihatannya semakin bertambah buruk, beliau pun telah menghimpunkan ahli keluarganya, murid-muridnya serta penduduk tempatan, beliau telah berpesan agar mereka kuat berpegang dengan ajaran agama dan hendaklah menyebarkan segala ilmu yang ada serta dipesan agar menjaga negeri Terengganu dengan cara memberi ilmu kepada rakyat dan jangan dijauhi orang-orang yang jahil.
Pada pagi Jumaat di tahun 1736 M/ 1149 H, Tok Pulau Manis telah pulang ke Rahmatullah dalam usia 86 tahun. Berita kematian Tok Pulau Manis itu telah tersebar ke pengetahuan istana raja, maka bergegaslah Sultan Zainal Abidin 1 dan para pembesarnya ke kampung Pulau Manis untuk menziarahi jenazah ulama dan wali Allah itu buat kali terakhir. Selepas jenazahnya disembahyangkan, jasadnya disemadikan kemudian jenazahnya dibawa ke makan dengan diiringi sultan, para pembesar dan rakyat jelata. Setelah itu, Sultan Zainal cAbidin 1 telah memerintahkan agar pembinaan makam Tok Pulau Manis dengan diletakkan batu ’bereluk’ di sekelilingnya.
Sumber:
Manaqib Syeikh Abdul Malik Abdullah (Tokku Pulau Manis) oleh Syeikh Ibrahim Mohamad
7 comments:
ada org ckp, terengganu adalah negeri pertama yg memeluk islam. dengan kata lain, islam masuk ke tanah melayu melalui terengganu. betul ke?
salam ukhuwah saudara,
saya minta izin untuk copy artikel ini yep...dan postkan di blog saya...
lagipon,saya nie bekas pelajar smka sheikh ab malek....
terkenang plak suasana ketika belajar kat sana....huhu..
boleh ker ????
salam ukhwah kembali, silakan jika ia bermanfaat buat tatapan seluruh umat islam..
syukran laka saudara...
saya juga akan mengedit sedikit artikel itu namun tidaklah lari daripada artikel asal saudara....
sekali lagi terima kasih....
tak jadi masalah pun selagi apa yang nak disampaikan tidak bercangah dengan al quran dan as sunnah..
Assalamualaikum. Kg Temir merupakan tempat lahir keturunan saya. Raya yg lepas saya ada balik ke Temir dan sempat melawat kubur nenek saya dan juga makam Tok Pauh. Sekarang baru sy tahu yg wujudnya Kerajaan Islam Temir. Boleh tak sy tahu dari mana saudara mendapat fakta tersebut. Sekian.
i'm also from this kg la...ain sarah khadijah ni ank sape ek...sekg dgn teman ni..mana tau teman kenal kut..
Post a Comment